*Kelebihan Puasa Asyura dan Tasu’a*
1. Hari Jumaat lusa, 28 Julai 2023 kita akan bertemu dengan Hari Asyura iaitu 10 Muharram, hari yang mana Allah menganugerahkan kemenangan buat Nabi Musa Alaihissalam. Rasulullah ﷺ melihat kaum Yahudi meraikan kejayaan Nabi Musa tersebut lalu Baginda ﷺ bersabda:
فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ، فَصَامَهُ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
“Aku lebih layak dengan Nabi Musa berbanding dengan kamu, lalu Baginda berpuasa dan memerintahkan para sahabat agar berpuasa”. (HR al-Bukhari)
2. Rasulullah ﷺ turut membimbing para sahabat agar berpuasa sehari sebelum hari Asyura atau sehari sesudahnya. Ini bagi membezakan daripada amalan yang dilaksanakan oleh orang-orang Yahudi. Sabda Rasulullah ﷺ:
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا
“Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan lakukanlah perbezaaan dengan Yahudi. Berpuasalah juga pada hari sebelumnya atau hari selepasnya.” (HR Ahmad)
3. Dalam sebuah hadis yang lain pula Rasulullah ﷺ seakan lebih cenderung untuk berpuasa sehari sebelum hari Asyura. Hari ini dinamakan sebagai hari Tasu’a iaitu 9 Muharram. Sabda Rasulullah ﷺ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ . قَالَ : فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Sabda Rasulullah SAW: Sekiranya tiba tahun yang akan datang insyaAllah aku akan berpuasa pada hari yang ke sembilan Muharram. Maka tidak datang tahun hadapan melainkan Rasulullah SAW telah pun wafat.” (HR Muslim)
4. Rasulullah ﷺ turut menceritakan kelebihan berpuasa pada hari Asyura. Perkara ini direkodkan dalam hadis Muslim yang menyebutkan:
سُئل النبي صلى الله عليه وسلم عن صيام يوم عاشوراء ، فقال أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
“Rasulullah ditanya tentang puasa hari Asyura. Maka baginda bersabda : Sungguhnya aku mengira bahawa Allah SWT akan menghapuskan dosa setahun yang sebelumnya.” (HR Muslim)
5. Oleh yang demikian, mari kita berpuasa pada hari Asyura (Jumaat lusa) dan hari sebelumnya (Khamis 27 Julai 2023) atau selepasnya (Sabtu 29 Julai 2023).
Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita untuk berpuasa pada hari-hari berkenaan InsyaAllah.
Ustad Ahmad Sirajuddin
Imam Besar Perlis
